Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Taman Rekreasi Bukit Wang
Terletak 12 km dari Pekan Jitra atau 40 km dari Alor Setar dan boleh dihubungi dengan jalan raya.Terdapat beberapa ciri keistimewaan Rimba Rekreasi Bukit wang iaitu Sungai Tosak sepanjang 1.5 km dengan keunikan batu batannya sesuai sebagai kawasan mandi-manda, flora fauna yang hijau, denai hutan sejauh 3 km mengelilingi hutan lipur ini dan 1.5 km yang lain boleh menghubungkan hutan lipur ini dengan Hutan Lipur Puncak janing.
Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan di sini ialah 15 buah chalet, 16 buah pondok rehat, 3 unit tandas awam, 10 buah gerai, sebuah kolam renang untuk kanak-kanak, jambatan batu, 2.4 kilometer kawasan untuk 'jungle tracking', sebuah surau dan sebuah dewan untuk kemudahan para pelancong atau pelawat.
Tasik Darulaman.
Taman Rekreasi Air Darul Aman mula dibuka pada Julai 2002 dan berkeluasan 76 ekar adalah antara salah satu daya tarikan yang terdapat di Daerah Kubang Pasu. Taman ini mempunyai tasik berkeluasan 36 ekar dan turut menyediakan trek pejalan kaki sepanjang 2.4 km. Taman Tema Air sesuai dikunjungi untuk tujuan beriadah kerana menyediakan pelbagai aktiviti seperti Kayak, Padle Boat, Buggy Ride, Pony Ride serta Futsal Padang.
Pelbagai program dijalankan seperti memancing, hari keluarga dari jabatan kerajaan/swasta serta majlis perkahwinan. Taman tema ini telah mendapat mengiktirafan kerana mempunyai Air Pancutan yang tertinggi di Asia mencapai ketinggian 85m.
Kem Paya Pahlawan
Kem Paya Pahlawan atau lebih dikenali sebagai Pahlawan Lake Resort terletak di Mukim Binjal Jitra. Kedudukannya yang strategik kerana berada jauh dari kesibukan bandar amat sesuai bagi mengadakan aktiviti seperti kursus-kursus dan kem.